Empayar Awal Melaka

Tuesday 5 June 2012

Sejarah Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka (Video)

Berita Terkini

Hari ini sesi perbentangan Teknologi bersama Bro.Rizal telah dijalankan..suasana bising dan gamat kerana guru-guru bersemangat untuk membentangkan hasil dapatan mereka..ini adalah kenangan terakhir kami bagi Diped Mara...

MELAKA BANDARAYA BERSEJARAH

Hati terasa gembira bila pertama kali sampai di kotaraya melaka.sdulu kala sebuah bandar yang pesat dan sebuah empayer melayu yang menakluki asia...hebatnya kota Melaka pada abad dulukala.

Monday 4 June 2012

Anggota kami Tengku Shamsul Baharin merakamkan gambar kenangan selepas perbincangan kumpulan di Restoran Saba' pada 3 Jun 2012

Anggota kumpulan kami bergambar kenangan di hadapan Muzium Kesenian Islam (tidak kelihatan dalam gambar Izo dan Sham yang berada dilokasi berlainan pada ketika itu)

Koleksi Kertas Kerja dan Seminar Darurat dan Kemerdekaan 2010, UM.

PENTADBIRAN DAN PERKEMBANGAN
PASUKAN HOME GUARD
Oleh. Zulkifli Muhamad
Pengenalan
Perbincangan ini memfokus kepada struktur pentadbiran dan perkembangan pasukan HG yang merangkumi tempoh dari tahap awal penubuhan sehingga penghujung era darurat. Di samping itu, turut dibincangkan adalah program-program untuk memperkemaskan lagi peranan pasukan ini bagi membantu pihak berkuasa keselamatan awam memerangi musuh semasa zaman darurat. Justeru, penekanan kepada perkara tersebut akan menyentuh aspek seperti corak pengendalian latihan dan pengoperasian, pengendalian taktikal dan teknikal. Program-program khusus, aspek-aspek pertahanan pasukan dan juga  perkara-perkara asas yang menjadi dasar kepada keberkesanan pasukan HG seperti polisi kebajikan ahli turut dikaji.
Ordinan Undang-Undang Darurat 1948
Melalui peruntukan Undang-Undang Darurat No.10, 1948, bidang kuasa pasukan HG telah digariskan secara umum oleh kerajaan di bawah bidang kuasa Pesuruhjaya Tinggi British. Dengan kuasa dan perakuan Pesuruhjaya Tinggi British melalui Seksyen 4 Ordinan Peraturan-Peraturan Darurat 1948, Pesuruhjaya Tinggi telah mengeluarkan arahan Darurat (Home Guard) (Pindaan) Peraturan-Peraturan 1952 dengan pindaan;
a)      terhadap pentakrifan competent authority[1]
b)      pengertian terhadap konsep kawasan HG yang merujuk kepada Inspektor General membawa maksud Inspector General HG”.[2]
Apabila seseorang diperakui sebagai anggota HG yang sah, ianya secara automatik terikat kepada peraturan-peraturan seperti yang digariskan oleh undang-undang Persekutuan Tanah Melayu. Sementara itu mengikut Peraturan 7 dalam Undang-Undang berkenaan pada bahagian akhir perenggan (a) kenyataan perenggan (1) menyatakan:
[...] hukuman denda tidak melebihi 15 ringgit untuk atau tambahan tugasan untuk tempoh tidak melebihi 40 hari bagi mereka yang ingkar peraturan ini, ketidakpatuhan, kedegilan, atau mempunyai kelakuan buruk sebagai seorang anggota HG [...].[3]
      Dari segi bidang kuasa pula, seseorang anggota HG terikat kepada beberapa undang-undang dan bidang kuasa mestilah tidak melebihi bidang kuasa pasukan polis seperti yang ditetapkan dalam Pekeliling Perintah Pengarah Gerakan Bagi Gerakan-Gerakan di Tanah Melayu, bilangan 35, Home Guard tahun 1956 antaranya ialah:
a)      Emergency Home Guard Regulation 1951 Reg. 9 (1) (a) seseorang anggota HG dibenarkan membawa senjata api dan boleh menggunakannya sewaktu bekerja dengan izin Pegawai HG dari pihak negeri atau NNS;
b)      Emergency Home Guard Regulation 1951 Reg. 9 (b) (1) Seseorang. anggota HG diberi kuasa menangkap sesiapa sahaja yang disyaki melakukan kesalahan di bawah undang-undang darurat dan pesalah perlu dibawa ke balai polis;
c)      Emergency Home Guard Regulation 1951 Reg. 17 EA (7). Setiap anggota HG diberi kebenaran melakukan pemeriksaan ke atas setiap orang awam kecuali perempuan hendaklah diperiksa oleh seseorang perempuan yang telah diberi kuasa oleh Pegawai Daerah;
d)     Emergency Home Guard Regulation 1951 Reg. 17. Seseorang anggota HG diberi kuasa memeriksa kenderaan awam bagi memastikan tidak ada penyeludupan barang makanan berlaku untuk mengelakkan barang makanan tersebut terlepas ke tangan komunis;
e)      Emergency Home Guard Regulation 1951 Reg.31. Sesorang anggota HG diberi kuasa melakukan pemeriksaan ke atas rumah, orang dan juga kenderaaan bagi memastikan tidak ada penyeludupan makanan seperti beras, dan barang makanan yang lain bagi mengelakkan jatuh ke tangan komunis;
f)       Emergency Home Guard Regulation 1951 Reg.28 EA. Seseorang anggota HG dibenar mengunakan senjata api bagi menahan dan menangkap penjahat yang melarikan diri dan boleh membunuh penjahat sekiranya penjahat tersebut tidak dapat ditahan.  Setiap anggota HG tidak boleh membunuh dan mencederakan penduduk kampung.[4]
Struktur dan Pentadbiran Home Guard
Susunan kedudukan perjawatan dan ranking seperti ini diikuti oleh keahlian semua pasukan HG. Hirarki pentadbiran dapat dilihat seperti dalam jadual di bawah:   
Jawatan
Pangkat
State Home Guard Officer
Lt. Col (Home Guard)
Deputy atau Timbalan
Major (Home Guard)
District Officer atau Pegawai Daerah
Major (Home Guard)
District Home Guard Officer
Major atau Kapten (Home Guard)
C.O Battalion
Leftenan/Lieut (Home Guard)
Adjutant (pegawai Tentera)
W.O. I dan II
Inspektor Home Guard
W.O. I dan II
Company Comander
Sarjan
Pengajar Tetap
Sarjan
Komander Platun
Kopral
Komander Bahagian/Sekseyen
Lans. Kopral
                 Jadual 2: Hierarki perjawatan pasukan Home Guard.
(Sumber: U/1 Home Guard Regulations and Instructions, Home Guard Ranks”, hlm. 64 [SULIT])
      Susunan kedudukan pangkat pasukan HG ini seperti yang ditunjukkan dalam jadual di atas adalah seperti yang telah diwartakan oleh kerajaan negeri. Bidang kuasanya pula tidak boleh melebihi daripada peruntukan yang telah ditetapkan dalam Undang-Undang Home Guard. Jika dilihat dari segi Arahan Organisasi Home Guard (Home Guard Command Organisation) secara umumnya struktur organisasi pasukan HG negeri atau di negeri-negeri atau NNS diketuai oleh Ketua HG Negeri. Beliau dibantu oleh seorang Timbalan Ketua HG Negeri, yang akan dibantu oleh sorang Penolong SHGO. Pada peringkat seterusnya pula, Pegawai Daerah atau DO akan mengetuai pasukan HG di setiap daerah tadbirannya. Jawatan ini dibantu oleh Pegawai HG Daerah atau DHGO dan juga Pegawai HG berpangkat Inspektor. Kemudiannya, selepas DHGO, pasukan HG akan diterajui oleh pegawai-pegawai Komander Batalion yang dilantik mengikut keperluan. Manakala pada peringkat bawahan pula, terdapat jawatan-jawatan seperti PSI, Coy Comander, PI Comander sehinggalah kepada jawatan Komander Seksyen yang akan mengetuai anggota-anggota HG peringkat paling bawah.[5]
Organisasi Home Guard
Meskipun pasukan HG merupakan sebuah unit keselamatan yang dibentuk berasaskan penyertaan secara sukarela, namun dari segi pengurusan pengendalian latihan dalam pasukan sukarelawan ini sangat bersistematik. Hal ini kerana, sejurus pengisytiharan darurat dibuat, faktor desakan dan tekanan daripada pengganas komunis yang bermaharalela di tanah air memaksa pihak British menyelaraskan secara teratur pasukan HG sebagai sebuah organisasi yang penting pada waktu itu. Justeru, pasukan HG menjadi nadi penting kepada pasukan bersenjata utama lain kerana mereka meringankan beban pasukan bersenjata khususnya di kawasan-kawasan kampung.
      Penubuhan pasukan HG di kampung-kampung ini, memberikan sedikit ruang kepada pihak pasukan keselamatan untuk menumpukan sepenuh perhatian di kawasan-kawasan yang dikira lebih strategik. Sejak awal penubuhan sehingga tahun 1954, jumlah keahlian dianggarkan seramai 294,400 orang anggota. Angka ini menjadikan pasukan HG sebagai sebuah pasukan sukarelawan yang kuat. Jumlah ini walau bagaimanapun tidak termasuk ahli pasukan HG yang ditubuhkan di Lembah Kinta. Dari segi komposisi kaum pula, meskipun di peringkat permulaannya pasukan ini dibentuk hampir menyerupai sistem kerahan, namun jumlah penyertaan ahli majoriti terdiri daripada sukarelawan Melayu. Hanya sebilangan kecil sahaja kaum Cina yang menyertai pasukan ini yang lebih tertumpu di kawasan–kawasan tertentu seperti di tapak perlombongan dan juga di sesetengah kawasan premis perniagaan tertentu.[6] Bagi mempertingkatkan lagi kecekapan pengurusan dan pentadbiran pasukan, pentadbir British telah mengambil lebih daripada 2000 kakitangan yang terdiri daripada pegawai pelbagai jawatan utama menganggotai pasukan HG. Kebanyakan pegawai atasan yang terpilih untuk menjawat jawatan berkenaan negara-negara Asia. Pada tahun 1954, terdapat 60 orang Pegawai dari Eropah. Namun daripada jumlah tersebut, 6 pegawai yang berada di bawah pentadbiran Pegawai HG Daerah tidak diletakkan dalam kedudukan kawalan Penolong HG Negeri.[7] Kekuatan anggota pasukan dibahagikan kepada dua pasukan iaitu unit statik dan pasukan bergerak (mobile element). Dalam organisasi pengurusan peringkat pertama anggotanya terdiri dari 150 orang ahli dengan setiap platun terdiri daripada 30 orang ahli. Manakala bagi satu seksyen ianya dianggotai tidak lebih dari 10 orang. Walau bagaimanapun kekuatan ini  lazimnya berbeza-beza atau tidak sama antara satu sama lain kerana bergantung kepada keadaan sesuatu tempat.[8] Selain itu, anggota unit bergerak telah diletakkan di bawah Bahagian Operasi yang dianggotai lebih kurang 9 orang sukarelawan yang berpengalaman daripada unit statik atau lokal. Anggota dalam bahagian ini diberikan bayaran dan juga makanan setiap kali melaksanakan sesuatu operasi yang dibahagikan pula mengikut seksyen biasanya memakan masa maksimum 60 hari bekerja per-seksyen. Pada tahun 1954, untuk setakat bulan Mac sahaja, terdapat sebanyak 387 seksyen telah menjalankan operasi mereka. Kebanyakan mereka terdiri daripada orang Melayu, namun sekiranya di kampung-kampung baru pula, jumlah yang mengikuti operasi kebanyakannya terdiri daripada kaum Cina.[9]
      Pasukan HG telah dibekalkan 90,000 pucuk senapang dengan lebih kurang iaitu ukuran secara nisbahnya satu senjata untuk setiap 3 orang anggota. Mereka juga dibekalkan dengan senapang automatik (karbin) dan pistol namun dalam kuantiti yang agak terhad. Pembekalan senjata kepada pasukan-pasukan HG ini sebenarnya telah dipersetujui oleh ahli-ahli jawatankuasa dalam Bahagian Operasi dan juga Ketua-Ketua Pasukan HG Negeri. Sebagai peruntukan tambahan, kerajaan telah membekalkan sebanyak 270 senapang patah untuk digunakan bagi tujuan kegunaan latihan pasukan HG di kesemua pusat latihan HG.[10]
Pengurusan dan pentadbiran dalam pasukan Home Guard
Ketua HG Persekutuan (Inspector General of Home Guard) merupakan peneraju dalam pasukan HG seluruh Tanah Melayu.[11] Beliau juga menjadi Ketua Pengarah Operasi dalam pasukan  HG yang menerima arahan dari Setiausaha Pertahanan. Selain tugas ini, beliau bertanggungjawab dalam menguruskan keperluan-keperluan utama pasukan ini berhubung peralatan senjata dan lain-lain peralatan yang diuruskan bersama pihak SWEC.[12] Beliau  tidak terlibat secara langsung dalam soal perjalanan sesebuah operasi tetapi bertanggungjawab sepenuhnya untuk menguruskan pentadbiran pengurusan dan juga tahap kecekapan serta disiplin pasukan secara langsung.
      Di samping itu, bagi meningkatkan tahap kecekapan dan keberkesanan pentadbiran pasukan HG di seluruh Tanah Melayu, kerajaan British telah melantik pegawai-pegawai HG yang didatangkan dari negara-negara luar. Pegawai-pegawai ini dikenali sebagai Asian Assistant State Home Guard Officers (ASHGO). Mereka yang terlibat dalam bahagian ini telah diberikan kontrak perkhidmatan selama dua tahun dan menerima bayaran pampasan mengikut ketetapan nisbah pendapatan yang diperuntukkan oleh kerajaan PTM kepada semua ASHGO. Kesemua urusan perjawatan in dilaksanakan oleh Ketua HG Persekutuan Tanah Melayu yang mengiklankan jawatan sama ada di Tanah Melayu atau kepada negara-negara luar khususnya di peringkat negara Asia. Tujuan pengambilan ini adalah untuk memperkukuhkan lagi sistem pengurusan pasukan HG. Pegawai-pegawai yang dilantik mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang pertahanan. Justeru dengan adanya pegawai seperti ini, kerajaan mensasarkan setiap pasukan HG di Tanah Melayu dapat meningkatkan keberkesanan operasi pasukan yang menjadi kunci kejayaan seluruh pasukan HG.[13]
      Di peringkat setiap negeri atau NNS, SWECs memainkan peranan membentuk formasi, organisasi, pengurusan peralatan dan menguruskan latihan di sesebuah negeri atau NNS. Namun demikian, setiap pelaksanaan atau sesuatu tindakan itu dirujuk terlebih dahulu kepada Ketua HG Persekutuan yang terlebih dahulu memutuskan kelulusannya, sebelum sesuatu arahan dilaksanakan. Pegawai-pegawai yang terangkum dalam SWECs ini juga memainkan peranan dan tugasan mereka menerusi pentadbiran Pegawai HG Negeri dan NNS (S/SHGO). Oleh itu segala panduan dasar yang diperolehi dari Ketua HG  Persekutuan akan disalurkan menerusi SWECs kepada pihak SHGO. Dalam perkara yang memerlukan pemerhatian terperinci, pegawai-pegawai ini akan berhubung secara langsung  dengan SHGO terlebih dahulu sebelum sesuatu persetujuan atau kelulusan diputuskan.[14]
      Di peringkat negeri, pasukan-pasukan HG mempunyai seorang Pegawai HG Negeri/NNS (SHGO) yang merupakan anggota Jawatankuasa SWEC. Pegawai HG Negeri juga adalah Komander bagi semua anggota HG dalam negeri tersebut. Beliau bertanggungjawab berhubung dengan sistem pengurusan pentadbiran, kawalan disiplin serta menguruskan latihan untuk seluruh anggota HG dalam negeri yang ditadbirnya. Selain itu Pegawai HG negeri juga bertanggungjawab menguruskan rancangan atau jadual kawalan pertahanan di semua kawasan ibu pejabat yang tidak mempunyai pondok polis. Selain tugas-tugas berkenaan, SHGO dibekalkan dengan kemudahan ruang pejabat dan juga kakitangan untuk memudahkan kerja-kerja pentadbiran dan pengurusan kewangan yang menjadi tanggungjawab penuh beliau.[15]
      Manakala di peringkat daerah pula, Pegawai Daerah (District Officer) akan mengetuai keseluruhan anggota pasukan HG yang ada dalam daerah pentadbirannya. Pegawai Daerah bertanggungjawab menerajui pasukan HG untuk memastikan anggota-anggota HG daerah mempertingkatkan keberkesanan tugasan mereka. Pegawai Daerah ini juga akan dibantu oleh beberapa orang Pegawai Inspektor HG yang akan memainkan peranan penting dalam pengendalian latihan dan pentadbiran pasukan HG dalam daerah pengawasan beliau. Walau bagaimanapun pegawai berpangkat Inspektor ini tidak akan memegang sebarang kuasa eksekutif melainkan hanya dalam sesuatu operasi khusus sahaja.
      Di samping Pegawai Daerah dan Pegawai HG Daerah, dalam keadaan tertentu, Pegawai-Pegawai HG Daerah (DHGO) boleh dilantik bagi membantu jentera pentadbiran. DHGO juga boleh bertindak sebagai Timbalan Pegawai HG Daerah dan pelantikan ini seringkali berdasarkan kepada pengalaman dan meriktokrasi. Mereka (DHGO) yang dilantik diberikan bayaran sekitar $330 hingga $430 sebulan. Namun pendapatan ini tidak tetap kerana jika keadaan di sesuatu kawasan itu mempunyai risiko dan tinggi terhadap aktiviti pengganas, bayarannya meningkat dalam kadar $400 hingga $750 sebulan. DHGO ini juga boleh dilantik sebagai Pembantu SHGO dan yang bertanggungjawab segala bentuk tugasan di bawah naungan SWEC.[16]
      Di peringkat kawasan pula, anggota HG diselaraskan ke dalam “Company” atau kumpulan yang terdiri daripada 150 orang anggota. Kompeni ini dibahagikan kepada beberapa platun  yang terdapat sekurang-kurangnya 30 orang anggota dalam satu platun. Setiap platun dibahagikan kepada seksyen yang terdiri daripada 10 orang anggota dipilih oleh Komander. Jumlah anggota dalam sesebuah platun atau unit-unit berkenaan adalah tidak tetap kerana ia bergantung kepada keadaan ancaman yang dihadapi di sesebuah kawasan. Sekiranya keadaan terdesak, battalion boleh ditubuhkan namun hal ini bergantung kepada situasi semasa dan mestilah melibatkan keputusan dari pihak tertinggi organisasi.
      Untuk memantapkan pengurusan pasukan pada peringkat ini, pegawai-pegawai tentera yang berpengalaman dilantik bagi membantu Komander Battalion. Selain itu Pengajar Tetap berbayar (Permanent Staff Instructor) yang dilantik untuk membantu Coy Comanders dalam memberikan latihan kepada platun di bawah seliaan mereka. Jawatan Komander Platun boleh dilantik dari mana-mana anggota HG dalam satu pasukan yang berperanan menjaga anggota-anggota dalam sesebuah platun.[17]
Latihan dalam pasukan HG
Aspek latihan melibatkan semua anggota daripada peringkat atasan sehinggalah kepada anggota biasa. Latihan pasukan HG dijalankan dengan penglibatan wajib Ketua Pegawai HG Negeri, atau di sesetengan negeri timbalannya, penolong Pegawai HG Negeri, Pegawai Daerah dan pegawai HG Daerah yang mewakili barisan hadapan sebagai tenaga pengajar. Pegawai-pegawai ini kemudiannya akan dibantu oleh:
a) Home Guard Inspectors (HGIs)
Mereka yang memegang jawatan ini menerima latihan peringkat pertama sebagai pendedahan asas. Latihan ini memberikan pengalaman kepada mereka tentang kaedah mengajar atau melatih anggota HG. Justeru, pada tahap ini sebarang latihan yang dirangka oleh kerajaan dilaksanakan di Pusat Latihan Negeri atau Pusat Latihan Utama.
b) Permanent Staff Instructor (PSIs)
Mereka yang memegang jawatan ini biasanya dipilih dari kalangan anggota HG dalam Kompeni. Hal ini kerana mereka berkemungkinan juga boleh dilantik sebagai Komander Platun. Tugas Pengajar tetap ini ialah membantu komander kompeni dalam memberikan latihan dan bimbingan kepada platun di bawah jagaannya. Di samping itu mereka juga perlu membentuk static link bagi meneruskan program latihan yang diterajui oleh Inspekctor HG dalam mana-mana kawasan kompeni. Selain itu, semua PSIs diwajibkan menjalani latihan di Pusat Latihan Negeri masing-masing.
c) Battalion Home Guard atau Komander Kompeni
Pegawai-pegawai ini kebiasaannya mempunyai asas ketenteraan dan mereka ditempatkan di kawasan ladang. Kerajaan menggalakkan peningkatan jumlah anggota di bahagian ini supaya mereka dapat menerima arahan daripada batalion atau kompeni. Pengalaman ketenteraan dan pengetahuan yang dimiliki diharapkan dapat membangkitkan semangat yang lebih berkesan dalam setiap sesi latihan.
d) Pegawai-pegawai yang tidak berkhidmat dalam perkhidmatan polis (officers and non-commissioned rank of the service & the police
Anggota di bawah kategori ini dipilih daripada mereka yang mempunyai potensi tinggi di kalangan pelatih. Walau bagaimanapun, anggota pelatih yang terpilih ini akan berhadapan dengan beban tugas yang lebih. Oleh kerana itu, hanya sebahagian anggota sahaja yang akan terlibat dalam pemilihan pada peringkat ini.[18]
      Di setiap negeri terdapat satu atau lebih Pusat Latihan yang diuruskan oleh Pegawai HG. Di setiap pusat, latihan dijalankan di bawah pengawasan penuh sama ada oleh Pegawai HG Negeri, timbalannya ataupun Pegawai HG Daerah. Pusat-pusat latihan Home Guard menyediakan tempat latihan kepada anggota di setiap peringkat yang melibatkan Inspektor HG, PSIs, Battalion dan Komander Kompeni. Selain itu latihan juga diberikan kepada pemimpin-pemimpin peringkat bawahan (junior) dan juga kepada semua anggota dari unit Bahagian Operasi. Dalam setiap sesi latihan, semua anggota HG menerima tunjuk ajar berhubung tugasan mereka sebagai anggota HG di samping aspek-aspek teknikal lainnya. Misi  utama yang menjadi cabaran kepada tenaga pengajar di setiap Pusat Latihan Pasukan HG adalah seperti:
a)      melatih anggota HG dengan kemahiran asas;
b)      melatih dan memberi tunjuk ajar berkenaan cara-cara menembak;
c)      mempertingkatkan daya ketahanan dan kecekapan anggota;
d)     mentadbir unit termasuklah penyeliaan peralatan senjata dan;
e)      menyalurkan maklumat dengan tepat dan mampu membuat keputusan atau tindakan yang betul.[19]
       Dalam latihan ini, anggota HG diberikan kursus pendedahan asas dalam menghadapi saat genting semasa menjalankan tugas. Oleh demikian, bentuk latihan yang diterapkan sangat sesuai dengan keutamaan dan keadaan semasa menempuhi ketegangan dalam era darurat. Antara beberapa bentuk latihan yang telah diperaktikkan kepada pasukan HG ialah drill atau latihan latih tubi. Penerapan sistem ini sangat diperlukan untuk menyemai sikap kepatuhan kepada perintah, tanpa sebarang rungutan. Perkara ini sangat penting bagi memastikan anggota pasukan HG terus memainkan peranannya dengan berkesan. Selain itu, latihan ini membentuk anggota HG kearah memahami koordinasi antara minda dan kekuatan fizikal yang dapat mengukuhkan keyakinan diri anggota.
     
      Selain latihan di atas, anggota HG juga diajar kemahiran asas seperti cara-cara untuk menjaga dan menggunakan peralatan senjata, penerapan tugasan di pusat-pusat kawalan, rondaan dan perhubungan, dan juga teknik melakukan serangan hendap. Penekanan turut diberikan dalam aspek seperti langkah pemantapan kawalan di sesuatu kawasan dan pembentukan jadual pertahanan yang sesuai khususnya di kampung yang mempunyai penduduk berselerak. Antara latihan asas lain yang diberikan tumpuan adalah seperti latihan pengendalian penggera kecemasan, penempatan pos kawalan pada waktu malam, kaedah rondaan, pemantapan pusat simpanan dan juga kaedah yang betul mengelakkan rampasan peralatan senjata.[20]
      Pada peringkat akhir latihan pula, pelatih HG akan diajar cara-cara melakukan serangan. Dalam kursus ini, unarmed combat dibuat dalam bentuk permainan biasa seperti juga acara sukan dan permainan-permainan harian lain. Untuk memastikan keberkesanan pengajaran, anggota polis dan tentera yang berpengalaman turut menjadi tenaga pengajar kepada pelatih HG.[21] Di samping itu juga, sebelum sesuatu latihan dijalankan, risalah (pamphlet) keterangan berkenaan latihan dihasilkan untuk dijadikan sebagai panduan asas para pelatih. Risalah ini dihasilkan dalam beberapa bahasa seperti bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan juga Cina. Dalam risalah ini juga, maklumat terperinci mengenai kursus turut dinyatakan. Risalah ini tujuan untuk membantu mereka (pengajar dan pelatih) mengetahui dengan lebih mendalam perkara-perkara utama semasa proses latihan berlangsung.
      Penekanan kepada peri pentingnya aspek latihan ini telah dititikberatkan ke dalam keseluruhan pasukan HG. Hal ini kerana sekiranya anggota HG tidak mengambil berat segala aspek yang ditekankan semasa menjalani latihan, antara risiko yang sering memalukan pasukan HG ialah berlakunya masalah kehilangan peralatan senjata dan juga bekalan peluru. Oleh demikian, pegawai atasan HG telah merangka prinsip-prinsip berikut:
a)      sikap rasa bertanggungjawab dalam diri setiap individu untuk keselamatan senjatanya dan bekalan peluru peribadi;
b)      permintaan senapang untuk sesiapa sahaja yang bertanggungjawab untuk pertahanan di sesuatu kawasan sama ada pada siang atau malam hari, mesti dipegang dan perlindungannya adalah dibawah tanggungan tersebut dan bukannya di bawah penjagaan pusat latihan;
c)      sebarang baki daripada bekalan peluru, di atas dan di bawah (b) akan dijaga  sama ada secara individual atau jika di bilik jagaan pusat iaitu di bawah kawalan pengawal keselamatan dibiayai sama ada oleh polis atau HG;
d)     di sana mestilah tidak ada sebarang senjata persendirian. Selain itu ianya boleh diambil senjata persendirian dalam rumah sekiranya pada waktu malam dengan kadar tidak boleh melebihi 100 ela daripada senjata seterusnya.[22]
     Di samping itu, dalam pengendalian dan pengajaran semasa sesi latihan, terdapat 5 prinsip utama berhubung dengan pengajaran kursus kepada seluruh anggota HG. Antara 5 prinsip utama melibatkan:
a)      kesetiaan: bukan semata-mata disebabkan oleh tanggungjawab untuk menjaga keselamatan sesebuah kampung sahaja tetapi kesetiaan ini meliputi sebuah persahabatan dan sikap kesetiakawan dalam pasukan HG; kesetiaan ini mestilah seiringan dengan keadaan semasa menghadapi ketegangan atau bahaya;
b)      berdisiplin: setiap anggota HG hendaklah mematuhi arahan kerja secara berpasukan dengan tahap disiplin yang tinggi pada setiap masa dan keadaan;
c)      kewaspadaan: anggota HG mesti berwaspada menghadapi serangan pengganas komunis;
d)     kemahiran penggunaan senjata: semua anggota HG mestilah mengetahui kaedah penggunaan senjata yang betul;
e)      field Craft: anggota-anggota HG mestilah mempunyai kepakaran di kawasan lapangan bagi menghadapi musuh-musuh mereka.[23]
Pengurusan dan penyelarasan kewangan
Berdasarkan sumber yang diperolehi, didapati Ketua HG Persekutuan tidak bertanggungjawab dalam pengurusan soal bayaran, peralatan dan pentadbiran HG di peringkat lokal. Hal ini kerana perkara ini adalah dibawah pengurusan pihak S/SHGO. Justeru, Setiausaha Pertahanan menyediakan peruntukan kewangan kepada pihak negeri atau NNS untuk bantuan seperti bayaran, geran latihan, geran peralatan, dan geran kemudahan-kemudahan asas.
      Oleh kerana pasukan HG merupakan sebuah pasukan sukarelawan, anggotanya tidak menerima sebarang bayaran atas perkhidmatan yang diberikan kecuali sedikit saguhati. Pembayaran saguhati ini juga diterima oleh pasukan HG persendirian.[24] Di peringkat jawatan tertinggi pasukan HG, mereka menerima pembayaran gaji. Mereka adalah terdiri daripada SHGOs, Timbalan SHGOs, Pegawai Kakitangan, DHGOs, Inspektor, Pegawai Tentera (adjutant), dan PSIs.
     
      Sementara itu bagi pasukan HG di negeri-negeri PTM, mereka menerima geran peruntukan tahunan. Geran ini adalah seperti yang telah diperuntukkan oleh Setiausaha Pertahanan PTM kepada Setiausaha Eksekutif Jawatankuasa Eksekutif Perang Negeri, Negeri Sembilan. Jadual di bawah menunjukkan jumlah peruntukan yang diterima oleh pasukan-pasukan HG di negeri-negeri masing-masing bagi tahun 1952:
NEGERI
JUMLAH PERUNTUKAN
Perlis
$5000
Kedah
$60,000
Pulau Pinang
$14,000
Perak
$170,000
Selangor
$46,000
Neegeri Sembilan
$26,000
Melaka
$10,000
Johor
$110,000
Pahang
$40,000
Terengganu
$1,500
Kelantan
$ 8,000
JUMLAH
$490,500
  
Jadual 3: Peruntukan geran bagi pasukan HG mengikut
negeri di Tanah  Melayu bagi tahun 1952.
(Sumber: U/4/A. Home Guard Finance Amenity Grant, C.S. 6037/1952/22  Letter from Head 16, Police Subhead 38, Grant to Auxiliary Police and Home Guard”, dated 23 February, 1952. [SULIT])
      Berdasarkan jadual di atas, jumlah peruntukan yang diperolehi tidak sama antara sesebuah negeri. Kerajaan memperuntukkan jumlah yang besar kepada negeri-negeri yang menerima ancaman komunis serta mempunyai anggota HG yang ramai. Sebagai contoh, negeri-negeri seperti Johor, Perak, Kedah dan Pahang menerima peruntukan perbelanjaan besar disebabkan keadaan di negeri yang mempunyai lokasi yang banyak kawasan yang dilabelkan sebagai kawasan hitam.[25]
      Oleh kerana pasukan-pasukan HG adalah salah satu cabang pasukan keselamatan yang penting, kerajaan PTM telah menyediakan peruntukan yang benar untuk membangun dan memperkembangkan pasukan ini. Perbelanjaan yang besar ini adalah sebagai usaha-usaha pemerkasaan pasukan HG berfungsi seiring dengan pasukan-pasukan keselamatan lain. Kesungguhan pentadbir British dapat dilihat melalui perbelanjaan membangunkan pasukan HG pada tahun 1953.[26] Sebagai contoh ditunjukkan dalam jadual di bawah untuk Negeri Sembilan:
Item
Kandungan
Anggaran Peruntukan
Jumlah Belanjawan sehingga 31.12.1953
Baki tanpa belanjawan
(a) (1)
Gaji dan elaun
$ 650, 295
$ 645, 696. 25
$ 4, 598. 75
     (2)
Elaun perumahan dan hotel
     30, 375
    26, 061. 52
   4, 313. 48
(b) (1)   
Alat tulis & percetakan
                            
        4, 100          
 
      4, 086. 67
         13. 33
     (2)
Telefon & telegram
        4, 900
        3, 630. 74
   1, 269. 26
     (3)
Lampu, kuasa & lln2.
        1, 500
        1, 025. 82
       474. 18
     (4)
Peruntukan kenderaan
      53, 425
      53, 185. 04
       239. 96
     (5)
Pengangkutan, perjalanan
      32, 500
      30, 280. 40
   2, 219. 60
     (6)
Elaun saraan
      17, 500
      17, 287. 40
       212. 10
     (7)
Perbelanjaan kawasan
            500
            500. 00
            -
     (8)     
Penyelengaraan Pusat Latihan    
        9, 100            
        9, 059. 73
          40. 27
     (9)
Khemah & penempatan
        6, 775
        6, 762. 97
          12. 27
     (10)
Penggantian uniform & peralatan
      60, 000  
      59, 280. 45 
        719. 55
     (11)
Elaun latihan
      82, 941
      81, 556. 00
    1, 385. 00
     (12)
Elaun operasi
      72, 400
      43, 417. 30
  28, 982. 70
     (13)
Kecemasan
            800
            163. 60
          36. 40
(c) (1)
Bekalan uniforms dan peralatan
      14, 572
      13, 965. 75
        608. 25
      (2)
Geran kemudahan
      29, 468
      24, 188. 08
     5, 279. 93
      (3)
Bangunan ringkas ibu pejabat
      60, 000
      56, 541. 40
     3, 458. 60
      (4)
Pembelian peralatan pejabat
        3, 306
        3, 251. 10
           54. 90
      (5)
Pembinaan bangunan
      75, 878
      75, 716. 09
         161. 91
      (6)
Pembelian peralatan di pusat latihan
        4, 660
        4, 415. 40
         244. 60
Jumlah keseluruhan
$ 1, 214, 997
$ 1, 160, 672.11
$ 54, 324. 89
Jadual 4: Perbelanjaan pasukan Home Guard Negeri Sembilan, 1953.
(Sumber:  U/4/54 Home Guard Finance, Grant Def. 6037/1952/23, “Amenity Grants for Home Guard”.  [SULIT])[27]
      Selain daripada peruntukan atau bantuan seperti yang ditunjukkan dalam jadual di atas, dari semasa ke semasa kerajaan memberikan derma kepada tabungan setiap pasukan HG. Walau bagaimanapun peruntukan ini hanya akan digunakan dalam keadaan tertentu sahaja yang bertujuan supaya dapat menaikkan semangat untuk bekerja di kalangan anggota-anggota HG. Setiausaha Kewangan Persekutuan Tanah Melayu dalam jawapannya kepada surat bernombor C.S.O 883/1951 menjelaskan bahawa peruntukan wang tabung pasukan ini hendaklah dibelanjakan bagi tujuan berikut:
a)      sebagai bantuan kewangan dan kes-kes yang bersifat “hard luck”;
b)      perbelanjaan out of pocket dalam hal-hal seperti biaya sesuatu perjalanan atau semasa menghadiri mesyuarat;
c)      penggantian pakaian yang mengalami kerosakan teruk semasa bertugas;
d)     perbelanjaan dalam urusan membuat sarung pinggang peluru dan sebagainya;
e)      bantuan kepada HG atau Pengawal Kampung bagi menghadiri kursus latihan misalnya yang memakan masa seminggu;
f)       bayaran sampingan kepada mereka yang bertugas luar waktu bertugas;
g)      percutian dan lain-lain sambutan perayaan;
h)      fotografi berkumpulan yang tidak lebih daripada sekali setahun;
i)        pembelian peralatan sukan misalnya bola sepak, sepak raga dan badminton;
j)        satu surat khabar untuk Ibu Pejabat;
k)      bateri radio sekiranya tidak dapat ditampung melalui bayaran ahli tempatan.[28]
Pengurusan dan pembayaran elaun
Seperti yang telah dibincang dalam perenggan terdahulu, anggota HG terbahagi kepada dua iaitu anggota yang menerima bayaran dan juga anggota yang bertugas secara sukarela. Dari segi pembayaran elaun, ia bergantung kepada tugas yang diterima dari unit Bahagian Operasi iaitu 60 hari dalam masa setahun. Namun demikian, dalam kes-kes pengendalian operasi yang melibatkan anggota secara individu, elaun mereka akan dikira sehingga 150 hari bekerja setahun. Pada tahun 1951, kerajaan pernah menawarkan bayaran pada kadar berpatutan kepada anggota sukarelawan dari pasukan Auxiliary Police, Kampung Guard (sebelum digabungkan dalam HG) dan juga HG.  Setiap sukarelawan dari pasukan ini menerima bayaran $3 untuk tempoh waktu bekerja lebih 10 jam sehari. Selain itu, mereka juga diberikan bayaran perjalanan pergi dan balik selain bayaran untuk bekalan makanan.[29] Walau bagaimanapun informasi dari temubual bersama seorang bekas anggota HG berpangkat Seksyen Komander di Kampung Lepau, Pengerang, Johor, menjelaskan bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang bayaran sepanjang berkhidmat dalam pasukan HG sejak dari tahun 1952 sehinggalah tahun 1962. Menurut responden, beliau telah menerima latihan selama setahun dan ditugaskan berjaga dari pukul 6 petang sampai 6 pagi dan perkhidmatan ini adalah secara sukarela sahaja. Justeru, keadaan seperti ini jelas menunjukkan bahawa masih terdapat sedikit kelompangan berhubung soal pembayaran elaun saguhati kepada anggota HG.[30]
      Pembayaran elaun pula dikira hanya untuk tempoh 5 jam waktu bekerja dalam sehari. Namun, terdapat pengecualian bagi mereka yang berkhidmat dalam sesuatu tugasan rutin seperti unit rondaan misalnya mesti menghabiskan tugasan mereka kurang daripada 5 jam. Selain itu, anggota dari Bahagian Operasi pula hanya diambil bertugas dalam sesuatu operasi yang tertentu sahaja. Sekiranya kedudukan kewangan pasukan  tidak stabil, pembayaran elaun tidak rasmi kepada Bahagian Operasi boleh dikurangkan jika mendapat kelulusan pentadbiran tertinggi HG. Dalam masa yang sama, pihak SHGOs akan menyelaraskan peruntukan kewangan bagi tujuan pembayaran elaun kepada mana-mana anggota yang layak sahaja. Di samping itu juga, peruntukan derma untuk bayaran daripada elaun operasi berada di bawah kawalan Ketua HG Persekutuan sepenuhnya. Dengan itu SHGOs hanya memperuntukkan wang yang diberikan oleh Ketua HG Persekutuan menurut keutamaan-keutamaan pihak SWECs.[31]
     Di peringkat awal penubuhan HG, kerajaan tidak menyediakan peruntukan pembayaran elaun[32] kepada pegawai kerajaan yang menerima pendapatan tetap. Bagi anggota HG yang mempunyai pekerjaan tetap dalam perkhidmatan awam, bayaran gaji bagi mereka yang menghadiri latihan di Pusat Latihan HG di buat oleh jabatan atau majikan tempat seseorang anggota itu bekerja. Bayaran ini menyamai kadar bayaran yang sama ditempat kerja asal mereka.[33] Hal ini kerana pemberian elaun hanya dikhaskan kepada anggota HG dari unit bawahan sahaja.[34] Secara purata, kadar bayaran biasanya ialah sebanyak $5 bagi jawatan Komander Platun dan $4 kepada anggota biasa dalam pasukan HG. Selain itu, bayaran elaun ini diberikan mengikut bilangan hari latihan penuh yang disertai oleh ahli dengan keutamaan diberikan kepada anggota yang tinggal jauh dari pusat latihan.[35] Jadual di bawah menunjukkan contoh perbelanjaan penggajian dan pembayaran elaun kepada pasukan-pasukan HG mengikut negeri bagi tahun 1952 dalam:
Negeri
Jumlah bayaran
Johor
175, 000
Melaka
50, 000
Negeri Sembilan
120, 000
Pahang
135, 865
Selangor
120, 000
Perak
200, 000
Terengganu
15, 000
Perlis
15, 000
Pulau Pinang
20, 000
Kelantan
60, 000
Kedah
60, 000
Ketua Home Guard Persekutuan
29, 135
Jumlah
        1, 000, 000
Rizab
        500, 000
Keseluruhan
      $ 1, 500, 000.               
Jadual 5: Kos penggajian dan pembayaran elaun bagi tahun 1952 mengikut negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu.
(Sumber: DEF. 37/10, Allocations from Head 5 Secretary Sub-Head 45,
“Salaries and Allowances, Home Guard”, 27 Ogos 1952. [SULIT])
Tugas dan peranan utama pasukan Home Guard
Peranan utama yang dimainkan oleh anggota unit setempat HG adalah untuk mempertahankan dan mengawal keselamatan penduduk kampung dan juga di kampung-kampung baru yang dikenal pasti berisiko menerima ancaman komunis. Selain itu, anggota-anggota pasukan HG ini berperanan besar dalam membuat penangkapan dan menghapuskan anggota komunis yang berada di sekitar kawasan kampung mereka. Pada masa yang sama, seseorang anggota hendaklah memastikan maklumat-maklumat tentang akitiviti komunis itu dapat disalurkan secara langsung kepada pihak polis atau pos kawalan utama yang berhampiran dengan kawasan kawalan pasukan HG. Walau bagaimanapun antara keutamaan-keutamaan lain yang manjadi tugasan rutin anggota HG termasuklah juga:
(a)     mengadakan pemeriksaan di setiap pintu masuk atau yang bertujuan mengawal makanan;
(b)     membuat pemeriksaan pada malam hari; dan
(c)     menyertai gabungan atau kombinasi antara HG atau pihak polis dalam sebarang aktiviti rondaan jalanan.[36]
      Dalam sesuatu operasi yang berbentuk umum, pasukan dari Bahagian Operasi terlebih dahulu melakukan operasi menyerang hendap dan menjalankan rondaan di sesuatu kawasan yang disyaki menjadi tempat persembunyian anggota komunis. Untuk menakutkan pihak musuh, serangan hendap ini dilakukan sekerap mungkin dengan mensasarkan pangkalan mereka sebagai sasaran utama. Walau bagaimanapun, sebarang bentuk operasi yang dijalankan oleh HG itu boleh dijalankan sama ada secara bersendirian ataupun bersama-sama dengan anggota pasukan bersenjata lain seperti pihak polis dan tentera. Dalam pada itu juga, seseorang anggota HG memainkan peranan penting untuk memastikan pasukan HG di kampung-kampung baru terus menjalankan tugasan peranannya sebaik mungkin. Justeru, setiap anggota pasukan HG akan bersama-sama membina kuarters atau pos kawalan mereka dan bergilir-gilir berjaga di kawasan di sekitar pos kawalan HG.[37] Sebagai langkah pengukuhan, terdapat 3 fasa proses pembangunan pasukan yang telah digariskan oleh kerajaan iaitu:
i)                 Fasa I: anggota HG yang masih di dalam proses latihan dan tidak dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan;
ii)               Fasa II: anggota pasukan HG berperanan membantu pihak polis dalam menjaga keselamatan; dan
iii)             Fasa III: anggota HG di kawasan ini bertanggungjawab sepenuhnya untuk mempertahankan keselamatan kampung.
Satu lagi ciri penting dari Fasa III ini ialah setiap anggota HG dipertanggungjawabkan untuk menjaga peralatan senjata yang dimiliki oleh mereka. Hal ini jelas menunjukkan bahawa anggota HG ini perlu memastikan bukan sahaja keselamatan diri mereka sahaja tetapi setiap senjata yang diberikan mestilah dijaga dengan baik agar tidak disalah gunakan atau jatuh ke tangan pihak musuh.[38]      
Pembangunan dalam pasukan Home Guard
Sejak dari awal penubuhannya lagi, kerajaan sedar bahawa fungsi yang dimainkan oleh pasukan HG kepada keselamatan negara adalah penting. Selain menjadi nadi utama dalam membantu pihak berkuasa keselamatan awam mengekang komunis, pasukan HG turut memainkan peranan sebagai “mata dan telinga” kerajaan. Sebagai langkah mengukuhkan pasukan HG, kerajaan membuat beberapa perubahan dalam aspek-aspek tertentu. Hal ini direalisasikan dengan pengenalan 3 fasa diterapkan kepada anggota HG dalam meningkatkan keberkesanan tugasan mereka mempertahankan keselamatan kampung. Ketiga-tiga aspek ini meliputi aspek latihan, penyelarasan pertahanan dengan tanggungjawab pihak polis dan juga penumpuan kepada tanggungjawab sebagai anggota HG.[39]
      Di sesetengah kawasan putih, situasi keselamatan di tahun-tahun akhir zaman darurat telah berjaya mencapai tahap skala penuh. Walau bagaimanapun, untuk mengukuhkan lagi pasukan HG kerajaan memutuskan semua kampung yang telah mencapai tahap Fasa III, kampung-kampung baru dan kampung-kampung Melayu mestilah mengutamakan beberapa perkara berikut:
i)                    latihan (polis bertanggungjawab untuk pertahanan);
ii)                  jalinan kerjasama pertahanan dengan pihak polis;
iii)                kekuatan sepenuhnya pasukan HG bertanggungjawab untuk pertahanan; dan
iv)                skuad simpanan, kader askar yang bertanggungjawab untuk pertahanan.[40]
      Penempatan pasukan HG di kawasan kampung-kampung baru yang diklasifikasikan dalam beberapa fasa tertentu dilengkapi dengan beberapa kemudahan. Pada peringkat Fasa I ini, sebanyak 12 senapang patah S.B diletakkan  di balai polis untuk digunakan semasa sesi latihan. Namun demikian, pengawasan dan penjagaan senjata-senjata ini adalah di bawah tanggungjawab pihak polis. Pada peringkat ini, anggota-anggota HG menjalankan latihan utama mereka seperti latihan mengawal pos kawalan, latihan rondaan rutin dan kaedah pengendalian memastikan loceng kecemasan. Semasa latihan tersebut berlangsung, pihak polis memantau sepenuhnya anggota pasukan HG bagi memastikan merteka menerima latihan dalam asas yang betul.
      
      Di peringkat Fasa II pula, anggota-anggota pasukan HG dilatih khusus sebelum diserapkan dalam Fasa II oleh CPO dan diluluskan oleh SWEC. Mereka yang berjaya melepasi tahap ini dipantau secara menyeluruh untuk sementara dan menjalani latihan fasa terakhir selama 3 bulan. Melalui latihan ini, kerajaan melahirkan anggota HG yang berketerampilan untuk menentang musuh-musuh negara.
    
      Bagi memastikan keberkesanan strategi dan pertahanan pasukan HG berjalan lancar, sesebuah pelan tindakan atau operasi mestilah mendapat persetujuan daripada DWEC.[41] Langkah ini amat penting bagi membolehkan persediaan yang rapi dilakukan sebelum sesuatu operasi dijalankan. Pelan operasi ini pula sentiasa dikemaskinikan dan biasanya digunapakai semasa pelaksanaan sesebuah tindakan operasi di Fasa III. Selain itu, lokasi pasukan HG simpanan pula diletakkan di mana-mana sahaja pos kawalan yang berhubung terus dengan balai polis. Pada masa yang sama, mereka juga ditempatkan di kawasan balai polis yang berada di bawah kawalan OCS yang tidak berada dalam lingkungan berdekatan dengan balai polis.[42]
      Sistem perhubungan antara pasukan simpanan dan pos kawalan alat penggera kecemasan dipastikan sentiasa beroperasi. Justeru, dalam peringkat ini, pihak polis diintegrasikan dalam unit kawalan malam pasukan HG untuk memperkukuhkan kekuatan pasukan di pos kawalan utama. Walau bagaimanapun, tumpuan juga diberikan kepada kawalan keselamatan di balai polis dan pos kawalan utama HG kerana kedua-dua kawasan ini merupakan lokasi yang menjadi tumpuan komunis yang sering melakukan serangan hendap di kawasan berkenaan. Dalam strategi ini, di setiap pos kawalan biasanya dilengkapkan dengan “double sentry” iaitu seorang konstable polis atau konstable khas dan seorang anggota HG ditugaskan pada sebelah malam di pos kawalan utama HG. Justeru, sepanjang tugasan malam ini, pengawal polis bersama anggota HG lain di kawasan pos kawalan. Semasa bertugas, mereka saling menghantar isyarat dan melaporkan situasi semasa bagi memastikan perhubungan komunikasi antara balai polis dan pos kawalan berjalan lancar di samping maklumat-maklumat terkini dilaporkan terus kepada bilik kawalan utama. Pada peringkat Fasa II ini sekiranya kawalan dan keselamatan memuaskan, pihak SWEC dan SHGO akan mengeluarkan arahan supaya pasukan ini bersiap sedia untuk meneruskan operasi pada tahap Fasa III.[43] 
     
      Di kawasan yang termasuk dalam Fasa III, “polis garrison” yang bertugas di kawasan ini dikurangkan bilangan bergantung kepada  arahan yang dikeluarkan kerajaan. Dalam sesuatu operasi, jumlah mereka dikurangkan mengikut keperluan dan tahap ancaman. Anggota ini kemudiannya ditempatkan kembali ke balai asal dan kerajaan pula membenarkan pembentukan skuad simpanan bergerak yang kukuh sebagai persediaan untuk menghadapi ancaman musuh. Dari segi kelengkapan senjata, dalam sesuatu operasi anggota HG biasanya diberikan satu senapang bagi setiap tiga orang anggota. Selain itu, kerajaan juga mempertimbangkan pemberian peruntukan bekalan senjata  tambahan berdasarkan kes-kes tertentu misalnya dengan mengambil kira tugasan anggota-anggota di kawasan terpencil, berselerak dan membahaya yang dicadangkan oleh pihak CPO dan SHGO.[44]
      Bagi Fasa IV, apabila sesuatu kawasan isytiharkan mencapai tahap “putih”, pengurangan anggota di kawasan kawalan HG akan dilakukan. Namun, anggota-anggota HG tidak diberhentikan serta-merta tetapi dalam tempoh antara 3 hingga 6 bulan.[45] Diperingkat permulaannya, pengurangan ini melibatkan anggota yang bertugas pada waktu malam sahaja, hanya sejumlah kecil ditugaskan menjaga pos kawalan. Dalam hal ini pihak SWECS yang membuat pertimbangan jumlah minimum anggota yang layak bertugas pada waktu itu mengikut kesesuaian dan keadaan semasa. Sekiranya anggota PKM masih aktif di kawasan itu, jumlah anggota yang ramai mungkin diperlukan. Bagi memperkemaskan kembali kekuatan pasukan, beberapa tindakan telah diambil iaitu:
a)      hanya anggota yang aktif disimpan dalam skuad manakala baki anggota ditempatkan dalam pasukan simpanan. Kader yang aktif memainkan peranan yang berbeza-beza; seorang komander dikhususkan untuk mengawas orang bawahannya lebih kurang 9 orang hingga 25 orang;
b)      kader-kader yang aktif diberikan senjata senapang patah atau pump gun dalam nisbah seorang untuk satu senjata;[46] 
c)      unit-unit simpanan dibenarkan untuk menyimpan senjata persendirian sahaja. Mereka dibenarkan menyimpan atau mengekalkan kad waran dan peralatan namun kuasa mereka sebagai anggota HG tidak diperakui lagi;[47]
d)     kawalan malam dilakukan pada waktu-waktu tertentu sahaja  sekiranya diperlukan kader yang aktif ditugaskan menjaga pos secara berkala untuk semalaman selain melaksanakan rutin rondaan pada masa-masa tertentu.[48]
Prinsip asas pertahanan dalam pasukan Home Guard
Kejayaan sesuatu rancangan pertahanan bergantung sepenuhnya kepada tiga faktor. Pertamanya ialah pelaksanaan segala strategi dan pelan yang telah dirancangkan manakala keduanya bergantung kepada keupayaan individu anggota HG serta bentuk latihan yang diterima dan ketiganya kekerapan daripada kombinasi kedua-dua faktor sebelum ini.
     Bagi memastikan pasukan HG benar-benar mantap, kerajaan memperkukuhkan strategi pertahanan pasukan HG secara tersusun. Dalam setiap rancangan pertahanan, beberapa kriteria khusus diberikan keutamaan. Sebagai contoh, kerajaan turut mengambil kira keadaan di kampung-kampung yang tidak dilengkapi dengan kemudahan sistem pengera kecemasan atau sistem kawalan keselamatan yang mantap. Di kebanyakan kampung-kampung baru pula hanya di sesetengah tempat sahaja yang berjaya dipantau dengan baik oleh pihak berkuasa keselamatan.  Namun  demikian tidak ada pasukan HG yang mampu mengekang kemaraan pihak musuh dengan sepenuhnya. Hal ini disebabkan oleh masalah wujudnya aktiviti penyusupan anggota-anggota komunis ke dalam pasukan HG yang tidak dapat dikawal sepenuhnya oleh kerajaan. Justeru, menyedari masalah ini, kerajaan merangka semua sistem pertahanan atau keselamatan berdasarkan beberapa keutamaan asas utama seperti berikut:
a)      penguatkuasaan kawalan keselamatan dengan melakukan aktiviti rondaan dalam kawasan kampung;
b)      mengadakan rutin rondaan di kawasan luar kampung bagi memastikan bahawa tidak ada pengganas komunis bersembunyi di kawasan berhampiran dengan pertimbangan DWEC;
c)      membentuk sistem penggera keselamatan yang berkesan  di kampung-kampung dengan pos pengera menghalang atau mencegah penyerang.[49]
      Di kawasan kampung, penghulu memainkan peranan utama dalam menggerakkan pertahanan pasukan HG di kawasan yang ditadbirnya dilantik sebagai peneraju utama anggota-anggota HG di sesebuah kampung.[50] Di samping itu penghulu juga terlibat dalam menyampaikan arahan dari Ketua HG Persekutuan kepada anggota-anggota di kawasan kampung. Adakalanya seseorang penghulu itu dilantik sebagai Komander Batalion atau menjadi ketua pasukan HG di kawasan mukim mereka.
Aspek taktikal dalam pasukan Home Guard
Bagi memastikan pasukan HG muncul sebagai pasukan keselamatan yang penting, kerajaan telah membuat beberapa arahan dasar sebagai garis panduan operasi. Pertamanya mengadakan rondaan dan kawalan dalam waktu yang panjang di kampung dan kampung-kampung baru. Dengan pelaksanaan jadual tugasan ini juga, anggota HG menjalankan rondaan dalam jarak yang tertentu dengan kawasan asas mereka berdasarkan kepada rancangan yang dipersetujui bersama dengan polis tempatan. Dari segi peralatan senjata pula, setiap anggota yang ditugaskan berkawal di kubu (pos penguasa) dibekalkan dengan senapang patah dan juga 50 biji peluru.[51] Walau bagaimanapun seseorang anggota HG tidak dibenarkan untuk menjalankan operasi diluar kawasan ini melainkan dalam operasi yang dijalankan bersama pihak polis atau tentera.
      Keduanya, membentuk unit-unit kecil yang beroperasi dalam jumlah yang banyak. Mereka yang terlibat dalam bahagian ini diberi latihan tambahan dan disiapsediakan untuk menjalankan operasi yang aktif secara bersendirian (melibatkan anggota HG sahaja) atau dengan bersama-sama  pihak berkuasa keselamatan lain dalam menentang musuh di kawasan mereka. Dalam pada itu juga, pada peringkat awalnya anggota HG tidak akan diminta untuk mengambil bahagian dalam sesuatu operasi selain daripada menjaga di kawasan kampung mereka melainkan jika mereka berkhidmat sebagai seorang sukarelawan biasa. Namun apabila langkah pemerkasaan pasukan dilakukan, banyak operasi HG dijalankan dengan melibatkan kerjasama inter state yang membolehkan seseorang anggota HG di sesebuah negeri mengambil bahagian dalam operasi luar daripada kawasan jagaannya.[52]
      Bagi anggota-anggota HG berbangsa Melayu, Cina, dan India telah dibentuk satu pasukan HG yang khusus. Meskipun pada permulaannya mereka lebih cenderung berada dalam unit yang berasingan namun kemudiannya digabungkan agar setiap kaum dapat diintegrasikan supaya bersatu padu menjaga keselamatan kawasan kampung masing-masing.[53] Selain itu, ia bertujuan untuk membangunkan anggota HG yang terdiri daripada pelbagai bangsa bahawa mereka sebenarnya berganding bahu dengan polis dan tentera bertanggungjawab atas keselamatan di kawasan mereka.
Pos kawalan Home Guard
Pos penguatkuasaan HG yang dibina tidak melibatkan kawasan yang besar. Hal ini bertujuan bagi memastikan kesemua anggota HG dapat menumpukan tugas dengan baik tanpa disalahgunakan untuk aktiviti lain. Binaan pos ini diberi penekanan kepada ciri keselamatan seperti kalis peluru dan mampu memberi perlindungan dari semua sudut daripada peluru di bahagian anjung atau di bahagian luar.
      Di setiap pos kawalan pasukan HG, terdapat dua pintu keluar yang dibina khas bagi memudahkan anggota pasukan mempertahankan diri sekiranya diserang oleh musuh. Selain  itu, pos kawalan ini juga diperkuatkan lagi dengan pagar berkembar di bahagian hadapan dengan binaan pagar yang bersesuaian dengan ciri-ciri keselamatan. Ianya dibina dilokasi yang strategik di sesuatu kawasan yang menjadi pusat kepada sesebuah kampung atau kampung baru. Sebagai langkah keselamatan, biasanya pos kawalan dibina bersebelahan atau berhampiran dengan balai polis. Walau bagaimanapun, di kawasan perkampungan baru yang besar seperti di kawasan Fasa III, pos kawalan biasa dibina lebih dari sebuah kerana kawasan ini lebih berisiko untuk diganggu komunis.[54]
Sistem penggera keselamatan.
Sistem pengera kecemasan merupakan alat terpenting kepada pasukan keselamatan awam. Justeru, sistem pengera ini telah ditempatkan di hampir setiap kawasan strategik kampung. Oleh demikian setiap pengera yang dipasang di kampung-kampung ini mampu memancarkan isyarat yang baik, kuat dan berkepekaan tinggi. Sekiranya terdapat tembakan berlaku di sekitar kawasan berhampiran kampung, sistem pengera ini dapat menjejak bunyi tembakan dan bertindak sebagai isyarat signal utama. Hal ini memudahkan orang-orang kampung dan juga anggota pasukan HG untuk bersiap sedia menghadapi apa sahaja kemungkinan yang berlaku.
      Dalam sesuatu operasi, penggera kecemasan ditempatkan di kawasan yang sesuai. Alat penggera ini memberi isyarat agar anggota HG bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan. Pada kebiasaannya, pos kawalan dijaga oleh 3 orang anggota yang dibekalkan dengan dua laras senapang patah dan juga beberapa senjata biasa seperti parang. Anggota-anggota HG mengambil kedudukan yang strategik untuk berhadapan dengan musuh. Sekiranya berlaku kejadian tembak menembak, mereka diajar supaya meniarap di atas lantai dan berada dalam keadaan tersebut sehingga keadaan kembali aman. Dalam masa yang sama semua lampu di dalam kampung kecuali perimeter lighting dipadamkan.[55]
     
      Sekiranya dalam sesebuah kampung tidak terdapat balai polis, maka balai polis yang berhampiran di luar kampung menjadi tempat untuk melaporkan sesuatu kejadian. Sekiranya perlu, dalam kadar yang singkat pengera akan dipasang dan OCS pula dihantar ke kawasan berkenaan untuk meninjau keadaan. Di kawasan Fasa III, Komander HG menjadi penguasa utama dalam setiap kejadian serangan. Walau bagaimanapun, OCS atau Komander HG juga boleh dilantik sebagai Komander bagi keseluruhan pasukan HG di kampung dan bertanggungjawab menyelaraskan pertahanan setempat. Namun situasi di kawasan kampung di Fasa IIA berbeza kerana di kawasan ini Pegawai  OCS dalam pasukan polis biasanya yang menjadi pegawai penguasa utama bagi setiap kejadian serangan yang berlaku.[56]
Penyelarasan pertahanan dan keselamatan di kampung
Oleh kerana keselamatan kampung menjadi agenda utama pasukan HG, pelan pertahanan dan keselamatan telah disediakan sepenuhnya oleh kerajaan bagi seluruh kampung dan juga penduduk di kawasan yang mempunyai pasukan HG. Perkara ini adalah berdasarkan garis panduan dan arahan yang telah dibuat oleh pihak polis dan dipersetujui oleh SHGO atau digazetkan oleh pegawai-pegawai HG yang dicalonkan oleh SHGO. Di kawasan Fasa III, pelan tindakan dan keselamatan kawasan ini dirangka terus oleh SHGO atau digazetkan oleh pegawai HG yang dilantik. Dalam kedua-dua kes ini, ianya dilanjutkan untuk pemerhatian DWEC sebelum diberi kelulusan.
      Setelah melalui peringkat tersebut, tugas mengadakan latihan dan penyelenggaraan terhadap rancangan tersebut bergantung kepada pihak polis. Justeru, rancangan pertahanan yang dirangka dimulakan dengan sesi latihan yang dijalankan secara kerap. Pada masa yang sama semua penduduk yang mendiami kawasan pekan atau kampung akan diajar cara-cara untuk bertindak sekiranya amaran kecemasan dibunyikan. Dalam sesuatu tindakan, rancangan pertahanan dan keselamatan merangkumi pergerakan unit-unit simpanan, pembukaan fire bay skuad simpanan dan juga jaringan pos kawalan HG.[57]
Pengendalian peralatan senjata, peluru dan pakaian seragam
Sebagai sebuah organisasi keselamatan, pasukan HG menerima peruntukan senjata khusus daripada kerajaan. Namun demikian, segala senjata dan peluru pasukan hanya diberikan kepada anggota HG tertentu dan mereka bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan dan penjagaan senjata tersebut.[58] Dalam beberapa kes yang tertentu, pihak SHGO memberikan kebenaran kepada anggota yang berpangkat komander untuk menyimpan senapang dan peluru bagi kegunaan semasa latihan dan operasi spesifik.[59] Sekiranya senapang itu tidak digunakan, semua peluru dari dalam senjata perlu dikeluarkan. Selain itu, setiap anggota bertanggungjawab untuk melaporkan keadaan setiap senjata itu kepada pihak pengurusan atau pentadbiran dari semasa ke semasa.     
      Anggota HG juga disyaratkan untuk menyimpan senapang mereka di bawah kawalan dan pemantauan pihak polis. Namun, semasa berkursus di pusat latihan negeri, senapang-senapang ini diserahkan kepada unit keselamatan yang menguruskan senapang di mana senjata-senjata ini disimpan di atas rak berantai.  Selain itu, bekalan peluru pula dikawal sepenuhnya oleh pihak polis.
     Dari segi pakaian seragam pula, secara umumnya, anggota HG biasa tidak diberikan pakaian seragam yang khusus seperti pasukan sukarelawan lain. Sebaliknya anggota HG biasa hanya memakai kemeja putih, berseluar hitam dan bersongkok. Selain itu, setiap anggota diberikan kain ambin yang bertulis perkataan “Home Guard” untuk dipakai atau dililit di lengan masing-masing. Lilitan tersebut adalah lambang kepada identiti seseorang yang bertugas sebagai seorang anggota HG. Walau bagaimanapun terdapat juga anggota HG yang mempunyai pakaian seragam. Pakaian yang disediakan ini hanyalah terhad kepada anggota dalam Bahagian Operasi sahaja. Hal ini kerana, sekiranya berlaku sebarang kejadian genting, anggota dari bahagian ini akan menyertai operasi bersama-sama pihak keselamatan awam lain. Namun demikian, anggota biasa juga boleh memiliki pakaian seragam pasukan HG dengan membelinya pada harga $12 dan boleh dijelaskan secara ansuran iaitu dengan kadar bayaran $1 sebulan. Dalam sesuatu operasi, skuad yang terlibat akan diberikan pakaian seragam berwarna hijau, terutamanya dalam operasi di dalam hutan.[60]
Operasi pemeriksaan makanan dan kawalan pagar
Dalam pengendalian pemeriksaan bekalan makanan dan kawalan berpagar pula, secara umumnya, tidak semua anggota HG bertugas di kawasan pagar pemeriksaan setiap hari. Sekiranya pihak polis tidak mempunyai anggota yang mencukupi, tugasan yang dilakukan oleh anggota HG hanya dalam waktu yang singkat dan tidak boleh campur tangan dalam tugasan harian anggota-anggota polis. Selain itu, tenaga anggota HG sangat diperlukan apabila terdapat pemeriksaan khusus kawalan makanan. Pemeriksaan ini adalah di bawah Arahan No. 36 Pengarah Operasi. Dalam sesuatu operasi yang sedemikian, anggota HG yang terlibat diberikan bayaran $3 sehari, iaitu diperolehi daripada peruntukkan tabung kawalan makanan.
    
      Semasa aktiviti pengawalan dan pemeriksaan seperti ini, anggota HG juga ditugaskan untuk membantu pihak polis dalam membuat pemeriksaan ke atas kenderaan. Selain itu, pemeriksaan di kawasan jarak lingkungan antara pekan dan kampung adalah di bawah tanggungjawab pihak polis. Dalam tugasan seperti ini, anggota HG tidak akan dilibatkan. Mereka hanya ditugaskan untuk berkawal di kawasan pintu pagar pemeriksaan. Pos ini sebenarnya dibentuk berdasarkan rancangan  pertahanan yang telah dipersetujui bersama antara pihak polis dan HG.[61]
Pengurusan kebajikan dalam pasukan Home Guard
Sebagai sebuah organisasi penting dalam zaman darurat, pasukan HG juga mengambil berat terhadap kebajikan ahli-ahlinya. Walaupun ahli-ahlinya terdiri dari mereka yang sepenuh masa dan juga dan sukarelawan, kesemua anggota ini tetap mempunyai hak dan kebajikan mereka tidak terabai. Langkah ini penting bagi menggalakkan lebih ramai lagi anggota masyarakat menyertai pasukan HG. Di Negeri Sembilan, misalnya, Pertubuhan Kebajikan Anggota-Anggota HG telah diuruskan oleh Jawatankuasa Negeri dan District Sub-Committees. Pengarah HG Negeri menjadi pengerusi pertubuhan ini dan beliau di bantu oleh Timbalan Pengarah HG Negeri sebagai Setiausaha dan juga Bendahari.[62]
      Untuk menjaga kebajikan anggota-anggota HG diperingkat daerah, District Sub-Committees ditubuhkan di setiap daerah dalam negeri ini telah dianggotai oleh beberapa jawatan yang terdiri daripada:
i)                    pegawai HG Senior (ASHGO ataupun DHGO) yang menjadi Pengerusi Ex-officio;
ii)                  seorang Pegawai HG Daerah yang dilantik sebagai Setiausaha dan juga bendahari di peringkat daerah;
iii)                seorang Pegawai Waran dan kakitangan  tetap; dan
iv)                dua orang Komander HG tidak bergaji yang terpililh untuk menjadi ahli jawatankuasa.[63]
Penubuhan jawatankuasa seperti ini menjadikan pasukan HG lebih bersistematik. Hal ini kerana, di peringkat jawatankuasa daerah mereka disyaratkan bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam masa dua bulan bagi meninjau perkembangan pentadbiran. Namun dalam kes-kes tertentu keputusan untuk mengadakan mesyuarat ini bergantung juga kepada permintaan dari Pengerusi sekiranya terdapat usul untuk dibincangkan. Sebagai contoh, dalam Peraturan-Peraturan Pertubuhan Kebajikan HG Daerah Negeri Sembilan, pengurusan dana kebajikan adalah tertakluk kepada beberapa syarat utama seperti berikut:
a)      Akaun Tabung Kebajikan HG diseragamkan di peringkat negeri dan daerah;
b)      Tujuan-tujuan bagi kegunaan tabung ini digunakan seperti yang terangkum dalam Lampiran (A) Peraturan Pertubuhan Kebajikan HG;
c)      Sumber-sumber pendapatan dari setiap Tabung Kebajikan Daerah tertakluk kepada Lampiran (B) Peraturan Pertubuhan Kebajikan HG ;
d)     Prosedur perakaunan bagi Tabung Kebajikan HG adalah tertakluk seperti dalam kenyataan dalam Lampiran (C) Peraturan Pertubuhan Kebajikan HG;
e)      Penggunaan hasil pengumpulan tabungan yang dikumpulan di peringkat daerah tertakluk kepada;
i)                    keuntungan dari denda yang dikenakan ke atas anggota HG di bawah Peraturan-Peraturan 7 (i) (a) Undang-Undang Darurat Bagi Home Guard 1951, dibayar kepada Pegawai Home Guard Negeri sebagai penghargaan untuk Tabung Kebajikan HG Negeri;
ii)                  20 peratus daripada semua saluran pendapatan lain yang diterima melalui daerah daripada mana-mana sumber selain dari pernyataan perenaggan (i) di atas, sebagai contoh sumbangan sukarela, keuntungan daripada aktiviti-aktiviti hiburan atau keraian yang bertujuan mengutip derma bagi mengisi tabung dan lain-lain (dibayar kepada pihak Pegawai HG Negeri sebagai penghargaan kepada Tabung Kebajikan HG Negeri);
f)       Tertakluk kepada peruntukan dalam perenggan 9 (e) di atas; penggunaan Tabung Daerah berkemungkinan dilanjutkan bagi seperti keterangan dalam Lampiran (A) mengikut budi bicara Jawatankuasa Peringkat Daerah;
g)      Jawatankuasa Peringkat Daerah akan memohon sejumlah dana kepada Jawatankuasa Negeri untuk menampung perbelanjaan mereka.[64]
Berdasarkan kandungan yang terangkum dalam Lampiran A, penggunaan dana tabungan kebajikan adalah khusus kepada perkara berikut:
i)          bantuan kepada anggota-anggota HG atau warisnya akibat kematian, kecederaan atau ketidakupayaan diri disebabkan kemalangan dan sebagainya semasa bertugas;
ii)          bantuan segera bagi kes-kes kecemasan sebelum menerima bayaran pencen, pampasan dan lain-lain;
iii)                imbuhan tambahan dan kemudahan kepada anggota HG yang bertugas  di kawasan-kawasan terpencil;
iv)                bantuan dan sumbangan bagi sambutan-sambutan rasmi seperti Hari Raya, sambutan Tahun Baru Cina, perayaan Deepavali dan sebagainya;
v)                  penyediaan makanan dan minuman ringan (refreshment);
vi)                sambutan-sambutan khas;
vii)              fotografi kumpulan;
viii)            Peralatan sukan;
ix)                surat Khabar;
x)                  bateri Wireless;
xi)                lain-lain kemudahan asas yang diluluskan oleh Setiausaha Pertahanan.[65]
      Peruntukan yang terkandung dalam Lampiran (B) pula menggariskan  bahawa sumber-sumber pendapatan dalam Tabung Kebajikan HG Daerah datangnya daripada sumbangan secara sukarela dan dari kegiatan atau aktiviti lain yang dianjurkan oleh pihak Jawatankuasa Daerah. Selain  itu, melalui Peruntukan yang digariskan dalam Lampiran (C) Peraturan-Peraturan HG, ia menekankan kepada prosedur pengiraan akaun. Antara perkara utama ialah jumlah dana Tabung Kebajikan NNS mestilah dikumpulkan oleh Bendahari Negeri atau NNS. Akaun ini kemudiannnya diselaraskan oleh pihak Bendahari yang bertanggungjawab mengemaskinikan perbelanjaan dan juga pemberian bantuan dana mengikut sesuatu keperluan. Akaun ini walau bagaimanapun dipegang juga oleh pihak HG Negeri sebagai rekod rujukan dalam membuat belanjawan.[66]
Kesimpulan
Daripada keseluruhan perbincangan bab ini, apa yang dapat dilihat ialah penglibatan kerajaan dalam pasukan HG adalah membuktikan bahawa kerajaan memberikan sepenuhnya perhatian dalam usaha memantapkan lagi peranan pasukan HG. Sebagai langkah pengukuhan pasukan, kerajaan telah memperkemaskan sistem pentadbiran dan mewujudkan beberapa pembaharuan di dalam pasukan HG. Keadaan ini membolehkan penyelarasan dan pembahagian skop tugas kepada semua anggota dapat dilaksanakan dengan baik.
     
      Walaupun pasukan HG berstatus pasukan sukarelawan, penglibatan setiap anggota dalam pasukan ini mendapat pengikitirafan oleh pihak kerajaan. Kerajaan PTM menyediakan peruntukan yang besar dalam membangunkan pasukan HG Tanah Melayu. Memandangkan peranan yang dimainkan oleh pasukan HG sangat besar dan mencabar, kerajaan telah menyelaraskan pembayaran elaun dan pelbagai kemudahan kepada semua anggota. Langkah ini dapat meningkatkan lagi semangat kerja seluruh anggota dalam menghadapi cabaran-cabaran getir.
     Dalam memastikan keberkesanan tugasan pasukan, aspek latihan menjadi perkara terpenting dalam pasukan HG. Hal ini kerana dengan pengalaman yang diperolehi di pusat-pusat latihan, ianya membantu anggota HG semasa menjalankan operasi bersama-sama pihak keselamatan awam lain. Usaha memperkasakan kemudahan dan strategi latihan telah diambil perhatian oleh kerajaan. Di atas kesedaran ini seluruh pasukan HG di Tanah Melayu menerima peruntukan yang besar daripada kerajaan dalam membangunkan pasukan HG masing-masing. Selain itu, penekanan kepada sistem latihan yang praktikal diamalkan sepenuhnya bagi membolehkan anggota mempelajari asas-asas pertahanan dan pengurusan pasukan.
     
      Meskipun, HG adalah bersifat sukarela, kerajaan telah mengambil berat terhadap aspek kebajikan dan kemudahan semua anggota HG melalui Tabung Kebajikan HG yang ditubuhkan. Pelbagai kemudahan telah diberikan demi memastikan setiap anggota menikmati kemudahan yang sewajarnya seiring dengan pengorbanan mereka semasa menjalankan tugas. Dengan kemudahan dan kebajikan yang diberikan kepada semua anggota tanpa mengira pangkat, ia menjadi pembakar semangat anggota pasukan kearah mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan mereka. Langkah ini juga sangat penting dalam memacu pasukan HG sebagai sebuah pasukan keselamatan yang penting selepas pihak polis dan tentera.


              [1]Competent authority” bermaksud bahawa Menteri Besar dan juga Pegawai HG Negeri di setiap negeri dan juga Pesuruhjaya Residen, Pegawai HG Negeri di Negeri-Negeri Selat, serta semua Pegawai Daerah atau individu yang diakui sebagai wakil pihak Menteri Besar atau Pesuruhjaya Residen. Lihat Federation of Government Gazette No. 10 of 1948, hlm. 2.
           [2] Federation of Government Gazatte No. 10, 1948, hlm. 2.
[3] Ibid.
[4] Suffian Mohamed, “Home Guard di Johor semasa darurat 1948-1960”, Latihan Ilmiah (B.A. Hons), Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2004, hlm. 59.
[5] Untuk melihat struktur organisasi HG negeri dan NNS di Tanah Melayu, sila lihat Lampiran B.
[6] U/7/54 Home Guard General, CIS (53) (17) The Home Guard General. [SULIT]
[7] Nama lainnya ialah Assistant State Home Guard Officer (ASHGO).
[8] Untuk keterangan lanjut sila lihat pemerincian umum mengenai statistik keanggotaan HG mengikut negeri yang dibincangkan dalam Bab 3. Sebagai tambahan di sini, jumlah keanggotaan pasukan HG adalah berbeza mengikut kawasan atau keperluan.
[9] U/7/54 Home Guard General, CIS (53) (17) “A Government Policy Towards The Home Guard”, hlm. 2. [SULIT]
[10] Ibid.
[11] Dari tahun 1948-1960’an  Ketua Pasukan HG Persekutuan Tanah Melayu diterajui Sgd. Maj. Gen. E.B. de Fonblanque. Beliau merupakan  ketua pasukan HG yang  telah berjaya  meletakkan pasukan HG  menjadi pasukan keselamatan yang dihormati dan disegani ekoran perkhidmatan cemerlang anggota pasukan HG.
[12] State War Executive Committee atau Jawatankuasa Eksekutif Perang Negeri.
[13] U/2/54 Home Guard Staff and Establishment, “Telegram HeadGuard Kuala Lumpur to SHGOs States/Settlements, Establishment 1956 and Terms of Servive Asian Officers”, Ref. No. I/G/19/82, 16 February, 1955 [ SULIT].
[14] U/6 Home Guard Instructions, Home Guard Instrctions No. 2, Essential points for Home Guard, hlm. 3. [SULIT]
[15] Ibid.
[16] Ibid., hlm. 4.
[17] Ibid.
[18] U/6 Home Guard Instructions, Home Guard Instrctions No. 3, Essential points for Home Guard, hlm. 3. [SULIT]
[19] U/4/55, Home Guard Finance, DEF. Conf. 37/67, “The payment of monthly honoraria to unsalaried Home Guard Comander”.  [SULIT]
[20] U/6 Home Guard Instructions, Home Guard Instrctions No. 3, Essential points for Home Guard, hlm. 3.  [SULIT]
[21] U/6 Home Guard Instructions, Home Guard Instrctions No. 3, Essential points for Home Guard, hlm. 3. [SULIT]
[22] U/6 Home Guard Instructions. Untuk keterangan lebih lanjut, sila rujuk laporan  Sgd. Maj. Gen. E.B. de Fonblanque, Inspector General Home Guard, Federation of Malaya dalam Home Guard Instrctions No. 3, “Essential points for Home Guard”, hlm. 4. [SULIT]
 
[23] ANM, Home Guard Training Pamphlets, hlm. 3.
[24] U/4/A Home Guard Finance Amenity Grant, C.S.O. 883/1951/110, “Letter from Sir F.M. Smith, Audit Directos to the Secretary for Defence”, 16 November 1952. [SULIT]
[25] U/4/A Home Guard Finance Amenity, Grant Def. 6037/1952/23, “Amenity Grants for Home Guard”. [SULIT]
[26] U/4/54, Home Guard Finance, State of Home Guard Negeri Sembilan, “Return of Home Guard Expenditure for the year 1953”. [SULIT]
[27]Catatan perbelanjaan ini telah dikeluarkan oleh S.H. Kyle-Little, Ketua Audit Pasukan Home Guard Negeri Sembilan pada 25 Januari 1954.
[28] U/4/A Home Guard Finance Amenity Grant, C.S.O. 883/1951/110, “Letter from Sir F.M. Smith, Audit Directors to the Secretary for Defence”, 16 November 1952. [SULIT]
[29] M/26/85 CO 1022/35, The employment of the local Home Guard against banditry in Malaya, 1951-1953. [SULIT]
[30] Temubual En. Abdul Rahim bin Sanusi, (bekas anggota HG berpangkat Seksyen Komander), di Kampung Lepau, Pengerang, Johor, 17 Mac 2009.  Menurut beliau hampir semua penduduk lelaki dewasa di Kampung Lepau menganggotai pasukan HG. Kampung Lepau telah diisytiharkan sebagai ‘kawasan putih’ pada tahun 1962.
[31] DEF. Y.37/51, Director of Operations Malaya Instruction. No. 35, “The Home Guard in 1955”, hlm. 10. [SULIT]
[32] Untuk tahun 1952 sahaja, kerajaan menyediakan peruntukan elaun rizab sebanyak $85,000 kepada anggota HG bawahan. Namun pembayaran ini bergantung kepada keadaan dan kekerapan perkhidmatan anggota HG dalam kategori tersebut.
[33]U/5 Home Guard Training DEF: 857/53/31, “Pamphlet Secretary for Defence, J.M. Normand Allowances payable to government officers in respect of Home Guard training and other Home Guard duties”, 8 Disember 1953. [SULIT]
[34] Diistilahkan sebagai unpaid ranks of Home Guard.
[35] U/4/A Home Guard  Amenity Grant, C.S.9496/51/86, “Letter from J.M. Normand, Secretary for Defence, Federation of Malaya, Training Allowances for Unpaid Rank of The Home Guard”, 20 Jun 1952. [SULIT]
[36] U/7/54 Home Guard General CIS (53) (17) “Duties of the Home Guard”, hlm. 2. [SULIT]
[37] Temubual En. Abdul Rahim bin Sanusi di Pengerang, Johor.
[38] U/7/54 Home Guard General, CIS (53) (17) “Duties of the Home Guard”, hlm. 2. [SULIT]
[39] U/1/55 Home Guard Instructions and Regulations, DEF. Y. 37/51, “Director of Operations Malaya Instruction. No. 35, The Home Guard in 1955”, hlm. 2. [SULIT]
[40] Ibid.
[41] District War Executive Committee.
[42] Ibid.
[43] U/1/55 Home Guard Instructions and Regulations, DEF. Y. 37/51, “Director of Operations Malaya Instruction. No. 35, The Home Guard in 1955”, hlm. 2. [SULIT]
[44]Ibid.
[45] Ibid.
[46] Walau bagaimanapun, pemberian senapang ini hanyalah untuk kegunaan individu berkenaan sahaja dan mereka bertanggungjawab sepenuhnya keatas keselamatan senapang tersebut. Pasukan simpanan ini juga menerima penyeliaan dan  latihan daripada anggota HG berjawatan tetap dan menjalani latihan menembak tahunan. Sila lihat U/1/55 Home Guard Instructions and Regulations, DEF. Y. 37/51, “Director of Operations Malaya Instruction. No. 35, The Home Guard in 1955”, hlm. 4-5. [SULIT]
[47] Ibid. Kad waran mereka akan di “chop” bagi menandakan ia tidak diperakukan lagi malahan mereka juga tidak dibenarkan untuk menyertai latihan menembak tahunan.
[48] U/1/55 Home Guard Instructions and Regulations, DEF. Y. 37/51, “Director of Operations Malaya Instruction. No. 35, The Home Guard in 1955”, hlm.4 dan 5. [SULIT]
[49] Ibid., hlm. 6.
[50] U/10 Home Guard Appointments, Def. Y. 37/4/37, “Letter from E.B. David, the Secretary of Defense, David to all Chairman SWEC’S of State/Settlements”, 16 Oktober 1952. [SULIT]
[51] Temubual En. Abdul Rahim bin Sanusi di Pengerang, Johor.
[52] U/10 Home Guard Appointments, Def. Y. 37/4/37, “Letter from E.B. David, the Secretary of Defense, to all Chairman SWEC’S of State/Settlements”, 16 Oktober 1952. [SULIT]
[53] Ibid.
[54] U/1/55 Home Guard Instructions and Regulations, DEF. Y. 37/51, “Director of Operations Malaya Instruction. No. 35, The Home Guard in 1955”, hlm. 6. [SULIT]
[55] Ibid.
[56] Ibid. hlm, 8.
[57]Ibid., hlm 8.
[58] Mereka yang diberi kepercayaan mengendali dan menyimpan senjata terdiri daripada pegawai-pegawai kanan dan anggota yang berpangkat. Secara umumnya, dalam  satu-satu situasi selaras senapang dikongsi oleh tiga anggoa HG. Keterangan lanjut sila rujuk U/1/55 Home Guard Instructions and Regulations, DEF. Y. 37/51, “Director of Operations Malaya Instruction. No. 35, The Home Guard in 1955”, hlm. 6. [SULIT]
[59] U/1/55 Home Guard Instructions and Regulations, DEF. Y. 37/51, “Director of Operations Malaya Instruction. No. 35, The Home Guard in 1955”, hlm. 8, [SULIT]
[60] Temubual penulis Encik Abdul Rahim bin Sanusi di Pengerang, Johor.
[61] U/1/55 Home Guard Instructions and Regulations, DEF. Y.37/51, “Director of Operations Malaya Instruction. No. 35, The Home Guard in 1955”, hlm. 9. [SULIT]
[62] U/8/54 & 55, File NS State Home Guard Welfare Committee, “Rules For District Home Guard Welfare Organisation” hlm. 2. [SULIT]
[63] Ibid.
[64] U/8/54 & 55, Negeri Sembilan State Home Guard Welfare Committee, “Rules for distict Home Guard Welfare Organisation”, hlm. 2. [SULIT]
[65] Ibid., hlm. 3.
[66] U/8/54 & 55, Negeri Sembilan State Home Guard Welfare Committee, “Apendix “A” to Rules for District Home Guard Welfare Organisation”. [SULIT]